Hikmah. Jerit Tempik.
Teringat Hikmah saat ayahnya memarahinya suatu masa dahulu dengan sangat lantang. “Benda macam ni pun nak kena ajar!” Hampir roboh rumah apabila suara garau itu menempik.
“Tak kan benda macam ni pun nak kena ajar!” kini dengan susun atur perlian yang lain.
Menggigil tangan Hikmah cuba memotong buah betik di dapur sambil diperhatikan ayahnya. Tiada sekelumit perasaan kasihan pun memarahinya sebegitu yang ketika itu baru berumur 10 tahun.
Anak kecil itu teresak-esak menangis. Mengharap simpati, mengharap kasih sayang. Apakan daya, ibunya jauh untuk dia adu dan peluk meredakan tangisan.
Jerit dan tempik itu bukan sekali. Bahkan berlaku berkali-kali sepanjang Hikmah membesar. Sehingga adakalanya Hikmah menjadi terlalu takut untuk membuat kesalahan. Takut akan ditempik oleh ayahnya. Lebih teruk jika dimaki sambil dirotan dengan buluh tirus.
Kini, Hikmah memahami sebab-musabab mengapa dia sering cepat beremosi apabila ada individu yang cuba menengkingnya terutama ketika waktu bekerja. Kini, semuanya semakin jelas.
Semuanya hasil jerit tempik seorang ayah yang menyangka jeritan dan hinaan itu suatu bentuk didikan. Seorang ayah yang narsistik. Ya. Hikmah adalah mangsa deraan narsistik.
Hikmah belajar bahawa, jerit tempik tidak melahirkan anak yang hebat. Jerit tempik membentuk Hikmah menjadi orang yang kuat tetapi bukan orang yang hebat.
A broken family builds up a strong child.
But a loving family builds up a great child.
Kini dia seorang ibu. Seorang ibu yang mengingati memori anak kecilnya dengan sangat jelas. Memori itu seakan semalam baru berlaku. Dalam kebanyakan memori, itu antara memori yang diingatinya.
Hikmah belajar bahawa, anak-anak mempunyai memori yang dibawa membesar bersama. Benda terburuk yang boleh berlaku adalah jika memori itu pahit dan merosakkan peribadi anak tersebut.
Hikmah memilih untuk merawat dirinya. Agar anak-anaknya tidak mengalami nasib yang sama. Hikmah memilih untuk menjadi ibu yang mendidik dengan rahmah.
Hikmah mengambil hikmah atas apa yang berlaku. Redha dengan ketentuan dan didikan yang telah Tuhan aturkan.